Wednesday, April 30, 2014

Kosongkan Poket.

Assalamualaikum dan salam Hari Pekerja,

Kosongkan poket yang Dandy maksudkan bukanlah bagi perabis duit dalam poket tu. Belanja biar berhemah. Entri kali ini ada sedikit kena mengena dengan tipiskan poket jika tidak 'kosongkan poket'.

Sila periksa setiap poket pakaian yang hendak dibasuh. Kosongkan terlebih dahulu sebelum memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh atau mesin pengering. Paling mudah, si pemakai siap-siap kosongkan poket sejurus pakaian ditanggalkan. Jadi, cepatlah kerja memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Justeru, tiada ragu-ragu dan kesal jika pakaian lain rosak akibat ‘barang’ yang terkeluar dari dalam poket.

Contohnya, jika terbasuh pen mata bola atau lebih menyedihkan pen. Habis rosak pakaian lain akan terpalit dakwat. Pen pun rosak, tidak boleh digunakan lagi. Apa akan jadi jika barangan itu tajam? Mungkin akan mencarik pakaian yag lain.

Setakat ini di antara barang yang Dandy dah jumpa tertinggal di dalam mesin basuh ialah pemetik api, alat kawalan jauh tv (tv remote control), pistol mainan, handphone mainan, kapalterbang mainan, kerongsang, jam kerongsang, pen mata bola, pensel, pemadam, token syiling dan duit syiling. Jangan tak percaya..kupasan kulit limau dan epal pun ada! (Agak-agak sebiji setiap satu)

Untuk barangan yang besar bolehlah ia keluar balik dari mesin basuh atau mesin pengering seperti sediakala rupa fizikalnya walaupun mungkin telah rosak. Bagaimanapun, barang yag pipih mungkin akan masuk ke saluran air keluar mesin basuh atau ruang di antara drum mesin pengering. Keadaan ini boleh merosakkan mesin jika terlalu kerap berlaku.

Untuk mesin basuh, ia boleh menyekat air keluar melalui injap air keluar. Kegagalan injap berfungsi akan menyebabkan mesin basuh tergendala. Untuk mesin pengering pula, ia menghalang drum dari berpusing dengan lancar dan mengeluarkan bunyi kuat seperti mengisar besi.

Pokok pangkalnya, ia boleh merosakkan pakaian dan mesin. Tipislah poket gara-gara mengganti pakaian yang rosak akibat kesilapan teringgal barang dalam poket. Oleh itu, ambillah langkah yang betul sebelum menggunakan mesin basuh dan mesin pengering.
 
Selamat mendobi di Dandy Laundry. Jangan tipiskan poket sebelum waktunya.

No comments:

Post a Comment